DR Mahathir (tengah), Menteri Industri Utama, Teresa Kok (tiga kanan), Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (dua kanan) dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (tiga kiri) ketika gimik pelancaran Kempen Sayangi Sawitku. FOTO Sairien Nafis
Siraj Mohd Zaini


PERSEPSI negatif negara Eropah terhadap minyak sawit termasuk dakwaan penebangan hutan untuk tujuan pembukaan ladang sawit sehingga menyebabkan spesis hidupan liar pupus adalah semata-mata mahu menjaga kepentingan ekonomi mereka.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia kerana kos bagi pengeluaran minyak sawit adalah murah berbanding minyak kacang soya yang dikeluarkan kebanyakan negara Eropah.

“Alasan mereka, minyak dihasilkan mereka tidak boleh lawan dengan kelapa sawit. Kita tanam sekali, 25 tahun boleh dapat hasil minyak sawit.

“Kalau tanam kacang soya, mereka terpaksa tanam tiap-tiap tahun untuk dapat hasil, dengan itu minyak sawit lebih murah dan lagi maju dalam pasaran.

“Untuk melawan (minyak sawit), inilah mereka buat cerita sudah tiada hutan dalam Malaysia, orang utan sudah tiada, harimau pun tiada di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East Pulau Carey, Kuala Langat, hari ini.

Turut hadir Menteri Industri Utama Teresa Kok, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar serta Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mahathir berkata, negara Eropah juga bersikap hipokrit apabila suatu ketika dahulu mereka menjajah negara ini juga menebang hutan bagi penanaman kelapa sawit.

“Mereka dapat kekayaan dan dibawa balik ke negara mereka, kita tak dapat apa-apa bahagian daripada kekayaan mereka perolehi akibat penebangan hutan di negara ini.

“Pada masa itu tak ada protes, tak ada orang kata jangan tebang hutan, ada harimau di situ, ada kera di situ, ada gajah di situ, tapi apabila kita tebang hutan dan kita berniat untuk berkongsi kemewahan negara dengan orang negara ini, mereka kata tidak boleh pula,” katanya.

Katanya, negara Eropah juga lebih prihatin kepada binatang liar berbanding lebih 600,000 pekerja di ladang sawit yang pendapatan mereka terjejas disebabkan persepsi negatif berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 3:53 PM