ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa. FOTO Amran Yahya


LELAKI berstatus orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Juasseh Tengah di Kuala Pilah, hari ini.

Zainal Abidin Ibrahim, 59, rentung selepas dipercayai terperangkap dalam bilik air ketika cuba menyelamatkan diri sebaik menyedari rumah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Eva Saifun Kamuni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 petang sebelum tiba kira-kira 20 minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, rumah berkenaan sudah 70 peratus terbakar dan mendapat tahu ada seorang lelaki terperangkap di dalamnya manakala ibu dan seorang kanak-kanak sempat menyelamatkan diri.

“Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.55 petang sebelum mangsa yang terperangkap dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Eva Saifun berkata, operasi pemadaman itu membabitkan seramai tujuh anggota.

Katanya, punca kejadian masih disiasat namun berdasarkan maklumat awal, kebakaran bermula di bahagian tengah rumah.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 6:34 PM