Mohd Hafizee Mohd Arop


REMAJA perempuan berusia 13 tahun mengalami detik hitam dalam hidupnya apabila dicabul bapa saudaranya di sebuah rumah kosong di Kampung Gajah, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 9 malam itu, suspek berusia 27 tahun dipercayai mengumpan mangsa untuk mengikutnya.

Dia kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah kosong.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebaik memasuki rumah berkenaan, suspek kemudiannya dipercayai menanggalkan seluar mangsa dan mencabulnya.

“Suspek dipercayai meraba seluruh tubuh badan mangsa dan mencabulnya.

“Selepas selesai, suspek kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumah dan siasatan awal mendapati suspek tinggal serumah dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, perbuatan suspek tidak terhenti di situ apabila sekali lagi membawa mangsa ke kawasan berkenaan 5.30 petang esoknya.

Namun mangsa berjaya melarikan diri sebelum hadir membuat laporan polis.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa adalah pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah dan dijaga oleh ibunya selepas bapanya meninggal dunia.

“Bertindak atas laporan diterima, polis kemudiannya berjaya menahan suspek jam 9.15 malam semalam di hadapan sebuah rumah di Kampung Gajah.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai rekod dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 3:04 PM