Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENYELENGGARA penghawa dingin mengaku tak bersalah di Mahkamah Seksyen Temerloh, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki di Mengkuang, Bera, minggu lalu.

Tertuduh, Lau Kar Shen, 22, berasal dari Taman Meranti Jaya, Bera, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Azraff Kamarulzaman, 25, di tepi jalan ladang kelapa sawit Kampung Paya Lalang, Mengkuang, Bera, antara jam 12.01 tengah malam hingga 2 pagi, pada 14 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


MAHKAMAH SEKSYEN TEMERLOH

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadila Md Ali.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran rumahnya setiap bulan selain dilarang mengganggu keluarga mangsa.

Azuar menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa dikatakan dilanggar anak pemilik kebun pisang menggunakan pacuan empat roda selepas mengesyaki mangsa cuba mencuri di kebun pisangnya.

Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Triang, Bera pada jam 3 pagi, 14 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 4:34 PM