KEADAAN lori berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


PEMANDU lori dan isterinya maut selepas lori membawa muatan minyak dinaiki bersama dua anak mereka terbabas ke dalam longkang di Kilometer 12 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik, di Gerik, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa, Muhammad Fazil Muhamad, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala, manakala isterinya Saadiah Mohd Rezal, 32, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Difahamkan, seorang anak pasangan itu berusia sembilan tahun cedera di bahagian kaki kanan, manakala seorang lagi berusia tujuh tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati lori dari arah Jeli ke Gerik itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terbalik ke dalam longkang.

“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian.

Katanya, anggota yang tiba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah lori yang terbabas ke dalam longkang dan terdapat seorang mangsa tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 4:42 PM