ANGGOTA pasukan keselamatan yang menyertai operasi pencarian. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


“BALIKLAH Acap, mak masak asam pedas untuk Acap.” Itu luahan seorang ibu yang merindui anak lelakinya yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Gua Tempurung, di Gopeng, sejak kelmarin.

Kehilangan Mohamad Ashraf Hasan, 29, yang bekerja sebagai Pembantu Makmal di Klinik Kesihatan Daerah Muar, Johor, masih menjadi misteri selepas operasi pencarian yang dijalankan sejak kelmarin gagal menemui sebarang petunjuk.

Ibu Mohamad Ashraf, Siti Maznah Khamis, 62, berkata, anak kelima dari tujuh beradik itu seorang yang rajin dan selalu menemaninya menjalani rawatan di hospital.

“Dia anak yang sangat prihatin, selalu bawa mak cik pergi hospital, saya berharap dia akan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya sebak ketika ditemui.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Khairul Nizam Ayub, 29,berkata, dia agak terkejut sebaik dimaklumkan oleh isteri Mohamad Ashraf mengenai kehilangan rakan baiknya itu.

Menurutnya, dia menyifatkan rakannya itu seorang yang aktif melakukan aktiviti sukan lasak dan aktiviti larian seperti itu bukan pertama kali disertainya.

“Apabila mendapat tahu dia hilang, saya sebak dan berharap pihak berkuasa dapat menemuinya secepat mungkin kerana sudah tiga hari hilang dan saya dapat rasakan keadaannya sangat lemah pada ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa pada 9.03 pagi semalam, selepas operasi pencarian mangsa oleh penganjur gagal menemui mangsa.

Katanya, seramai 100 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyertai operasi itu.

“Operasi masih diteruskan namun kita mengalami kesukaran untuk menjejaki mangsa kerana tiada tanda atau petunjuk ditemui untuk membolehkan kawasan pencarian itu diteruskan.

“Kita hanya menjumpai botol minumannya sahaja namun petunjuk lain masih belum ditemui,” katanya.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menggunakan khidmat unit anjing pengesan bomba dan pasukan khas untuk mencari mangsa dan setakat jam 4.15 petang mangsa belum ditemui.

Berita berkaitan

Peserta hilang ketika larian

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 5:17 PM