Mayat seorang lelaki ditemui di Lata Goleng berhampiran jambatan Kampung Sungai Rual. FOTO ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail


MISTERI kehilangan seorang lelaki terjawab apabila mayatnya ditemui di Lata Goleng berhampiran jambatan Kampung Sungai Rual, Jeli, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mayat lelaki berusia 44 tahun itu ditemui oleh kakak iparnya.

Kakak iparnya berusia 61 tahun kemudian menghubungi polis sebelum dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, berdasarkan maklumat ahli keluarga, lelaki itu dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Berdang jam 8.30 malam kelmarin.

“Selepas mangsa tidak pulang ahli keluarga berusaha mencari namun gagal.

“Bagaimanapun, pagi ini kakak iparnya menemui motosikal mangsa di jambatan berkenaan sekali gus membawa kepada penemuan mayat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Jeli untuk dibedah siasat.

“Setakat ini kita mengklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 7:58 PM