Hujan lebat menyebabkan banjir kilat di hadapan LRT Setiawangsa. FOTO Google Images
Hidayatul Akmal Ahmad


REMAJA orang kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun dan bayi perempuan berusia empat bulan antara mangsa diselamatkan Bomba dan Penyelamat dalam kejadian banjir kilat di Kampung Datuk Keramat di Kuala Lumpur, hari ini.

Hujan lebat lebih sejam di sekitar Lembah Klang itu turut menyebabkan 10 rumah serta beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dengan bantuan BBP Titiwangsa dan BBP Jalan Tun Razak dikerahkan ke tempat kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 11, Suhaimi Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 4.20 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, banjir kilat sudah mencecah sedalam tiga meter.

“Tindakan anggota memastikan sistem pengaliran berfungsi dengan baik bagi membolehkan air mengalir dengan sempurna.

“Operasi tamat pada jam 5.41 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, hujan lebat turut mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang di Jalan Ampang menghala Jalan Tun Razak serta Genting Klang menuju Jalan Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 11:47 PM