LAPORAN portal Harian Metro mengenai pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut, Simpang Renggam.
Ibrahim Isa dan Adnan Ibrahim


LOJI Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang terpaksa berhenti operasi sementara waktu sejak Sabtu lalu akibat pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut, dibuka semula, malam tadi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, pemantauan berterusan dilakukan sejak semalam dan kira-kira 7.30 malam ini, bacaan ammonia pada paras selamat iaitu 2 part permillion (ppm).

“Sabtu lalu, bacaan ammonia di LRA Simpang Renggam adalah 20 ppm menyebabkan ia terpaksa ditutup kerana boleh membahayakan pengguna.

“Bagaimanapun, hasil pemantauan berterusan kami dapati keadaan bertambah baik dari masa ke semasa dan kira-kira 7.30 malam tadi, ia hanya mencatat bacaan 2 ppm (paras selamat) dan kami menasihatkan ia boleh beroperasi semula,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, malam tadi.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya akan sentiasa memantau keadaan sekitar, terutama di kawasan pembuangan sampah bagi memastikan tiada titisan air dari tapak pelupusan sampah mengalir ke Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap hingga boleh meningkatkan paras ammonia.

Katanya, pada masa sama pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, jurucakap SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) berkata, sebelum ini pihaknya bercadang melakukan catuan air bermula Khamis ini berikutan kandungan ammonia yang tinggi di LRA Simpang Renggam.

“Agihan air terpaksa digunakan menggunakan lori di beberapa kawasan terjejas, bagaimanapun disebabkan perkembangan terbaru ini kami tidak akan melakukan catuan.

“Bagaimanapun, disebabkan jumlah air terlalu sedikit di LRA itu, jumlah air yang disalurkan mungkin lebih sedikit berbanding kebiasaan,” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan

75,000 pengguna air terjejas [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 12:30 AM