MOHD Yusof Ahmad. FOTO arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


MUFTI Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad menolak permintaan pengguna laman sosial yang mengajaknya berdebat berhubung permainan video ‘PlayerUnknown’s Battleground’ (PUBG).

Beliau berkata, ajakan itu tidak membawa sebarang manfaat, tambah pula individu yang berdebat kebiasaannya mahu menang.

“Orang berdebat nak menang tetapi orang yang berbincang mahukan kebenaran. Kenyataan saya baru-baru ini supaya kerajaan mengharamkan PUBG sekadar perbincangan yang perlu difikirkan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Mohd Yusof, saranan yang dicadangnya pada 17 Mac lalu adalah untuk kebaikan ummah.

Menerusi blog dan Facebook, seorang lelaki pada 20 Mac lalu mengajak Mufti Negeri Sembilan itu berdebat berhubung isu permainan video yang rancak diperkatakan masyarakat.

Lelaki itu yang berkecimpung enam tahun dalam e-sukan bersedia berdebat menerusi dalam talian atau secara berdepan bagi membantunya menangani kebimbangan mengenai permainan video.

Dia turut mendakwa tidak adil satu permainan mendapat kutukan susulan tembakan yang mengorbankan 50 orang Islam dan mencederakan puluhan yang lain di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Harian Metro pada 17 Mac lalu melaporkan Mohd Yusof menyarankan kerajaan mengharamkan permainan PUBG kerana mendidik generasi muda ke arah aktiviti keganasan selain menghilangkan perasaan belas kasihan.

Katanya, kerajaan perlu memikirkan perkara itu kerana ia jelas memberi kesan terhadap kanak-kanak dan remaja.

Berita berkaitan:

  • Mufti gesa PUBG diharamkan
  • Jangan salahkan 'games'- Syed Saddiq
  • Haramkan PUBG!
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 1:45 PM