PEGAWAI AADK mengambil kenyataan remaja wanita yang ditahan dalam serbuan Op Cegah di FELDA Kepis, Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


WANITA berusia 21 tahun yang hamil lima bulan tidak mempedulikan nyawa kandungannya semata-mata mahu melepaskan gian menagih syabu.

Dia memberi alasan terpengaruh dengan rakan menyebabkannya sukar meninggalkan tabiat buruk itu biarpun berbadan dua.

Lebih menyedihkan, remaja wanita itu mendakwa sudah ketagihan dadah sejak berusia 17 tahun, malah hamil kali kedua itu hasil hubungan dengan kekasihnya yang juga penagih.

Perbuatan itu terbongkar selepas dia dan kekasihnya yang berusia 22 tahun ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di rumah lelaki itu di FELDA Kepis, Kuala Pilah, Jumaat lalu.

Pasangan itu antara lima individu yang ditahan dalam serbuan Op Cegah dijalankan sembilan anggota AADK pada jam 2.30 pagi.

Pegawai AADK Kuala Pilah, Rozita Muhammad Rusli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan penagihan di kawasan itu sebelum menjalankan risikan dan menyerbu 10 rumah.

Bagaimanapun, katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki dan seorang wanita hamil positif dadah manakala lima lagi yang negatif dadah dibebaskan.

“Ketika ditahan, wanita itu mengaku baru mengambil syabu tiga hari sebelum ditahan.

“Dia juga mendakwa hidup liar sejak remaja hingga hamil anak pertama dengan bekas kekasihnya dan anaknya itu kini dipelihara saudaranya,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Kuala Pilah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 3:22 PM