PASUKAN menyelamat ketika menjalankan SAR terhadap Mohamad Ashraf, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.
Farah Suhaidah Othman


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pembantu makmal Klinik Kesihatan Daerah Muar, Johor yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Gua Tempurung dekat Ipoh, Sabtu lalu diperluas ke 10 kilometer dari jarak dia hilang.

Kehilangan Mohamad Ashraf Hasan, 29, masih misteri selepas SAR yang digerakkan sejak kelmarin, gagal menemui sebarang petunjuk.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, pihaknya juga tidak menemui petunjuk baru meskipun operasi sudah memasuki hari ketiga.

Katanya, pencarian menggunakan pelbagai aset termasuk khidmat Pasukan Khas Pelbagai Kemahiran (MUST) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) selain unit anjing pengesan (K9) JBPM.

Untuk hari ini, beliau berkata, pihaknya menggunakan kaedah menyelamat ‘vertical rescue techniques’ dengan tali dari puncak Bukit Batu Putih.

“Teknik menggunakan tali yang turun dari bukit itu setinggi kira-kira sembilan meter, berikutan kawasan berdindingkan batu hampar curam, jadi kita aturkan dua kumpulan di puncak bukit berkenaan.

“Setakat ini (3 petang) pasukan masih di puncak dan akan menghantar maklumat sebelum penilaian semula operasi dibuat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Yunus berkata, pihaknya turut dibantu oleh pasukan penjejak dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Khairul Anwar Ramli berkata, mangsa dipercayai hilang dari ‘check point’ enam hingga 10 iaitu kira-kira 10 kilometer dan setakat ini hanya botol airnya yang ditemui

Katanya, orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti sukan luar di kawasan itu tidak perlu bimbang kerana kawasan terbabit masih selamat.

“Ini kawasan pelancongan dan selamat, cuma kita nasihatkan lakukan aktiviti berkumpulan,” katanya yang memberitahu kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 4:05 PM