ANTARA wanita warga asing yang ditahan JIM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PETALING JAYA: Sanggup menyorok di bawah katil dan kerusi bagi mengelak ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

Itu antara gelagat warga asing yang membuat pelbagai helah ketika serbuan dijalankan di empat rumah urut di Kota Damansara dan Kayu Ara di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 10 malam itu, 19 wanita warga asing berusia 20 hingga 40 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Pengarah Imigresen Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, ketika serbuan seorang daripada wanita berkenaan bersembunyi di bawah katil namun ditahan.

“Ketika serbuan di premis berlainan, pemilik premis bertindak mengunci pintu dari dalam.


WARGA asing yang menyorok di bawah katil bagi mengelak ditahan anggota penguat kuasa.

“Semua usaha mereka hanya sia-sia dan warga asing terbabit dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran ditahan,” katanya.

Katanya, mereka dipercayai berselindung di sebalik premis urut dan dalam masa sama menjalankan kegiatan pelacuran.

“Daripada jumlah yang ditahan, 15 daripadanya warga Thailand, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos.

“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor sebelum ditahan di Depot Imigresen Semenyih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:30 AM