ANTARA peralatan mengebom dan ikan yang dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Lumanggas, di Semporna. FOTO Ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming


TIGA lelaki termasuk seorang juragan bertindak terjun laut selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Lumanggas, Semporna.

Mereka yang berusia lingkungan 30-an dikesan sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM sekitar 4 petang semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, anggotanya yang meronda dengan bot ronda RH7 di kawasan itu pada mulanya mengesan sebuah perahu enjin pam yang mencurigakan.

“Bagaimanapun, apabila tiba di kawasan cetek, tiga lelaki dalam perahu itu bertindak terjun laut dan berenang ke daratan sebelum hilang.

“Pemeriksaan lanjut dalam perahu menemui satu batang peledak (detonator), satu kotak mancis kayu dan satu botol kaca berisi baja ammonia yang disyaki digunakan untuk mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, barang rampasan termasuk perahu bersama satu unit enjin pam dan 20 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM4,113, dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 10:42 AM