LELAKI maut manakala ibunya parah selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki bertembung secara berhadapan dengan lori di Kilometer 44, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


LELAKI maut manakala ibunya parah selepas kereta Proton Wira dinaiki bertembung secara berhadapan dengan lori di Kilometer 44, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di Tapah, hari ini.

Dalam kejadian 6.20 pagi, Mah Poh Wah, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala, manakala ibunya Leong Ah Mooi @ Leong Suet Ooi, 72, parah.

Difahamkan, kemalangan itu turut mengakibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang memandu lori membawa muatan barangan basah ke Pasar Kampar cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori yang bertembung dengan kereta mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Kampar.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa yang dalam perjalanan menuju ke arah Tapah.

“Kejadian itu mengakibatkan pemandu kereta berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibunya yang duduk di tempat duduk hadapan parah.

“Wanita warga emas yang parah di kepala itu dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan bersama pemandu lori yang turut cedera di kepala, manakala mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:23 AM