PEMBINAAN Projek LRT3 di sekitar Jalan Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Mei lalu. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PROJEK Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Transit Aliran Massa 2 (MRT2) diteruskan dengan pengurangan kos keseluruhan sebanyak RM23.84 bilion, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Kata Guan Eng, menerusi perbincangan dengan kontraktor sedia ada, projek LRT3 akan diteruskan dengan kos keseluruhan RM16.63 bilion.

Kata beliau, perbincangan, rundingan serta usaha rasionalisasi itu berjaya mengurangkan kos per kilometer dan kos keseluruhan daripada kos asal iaitu RM31.65 bilion.

“Untuk MRT2, perubahan struktur bagi pembinaan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya serta langkah rasionalisasi berjaya mengurangkan kos projek sebanyak RM8.82 bilion.

“Kerajaan mengambil pendekatan tidak membatalkan dan tender semula kontrak kerana ia akan mengakibatkan bayaran pampasan, kenaikan kos pembinaan dan kelewatan pembinaan.

“Kemajuan projek LRT3 adalah tujuh peratus ketika rundingan semula diadakan manakala MRT2 sudah mencapai 36.6 peratus siap apabila rundingan semula kontrak dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai sebab projek turnkey MRT2 dan LRT3 diberi secara runding terus bukannya menerusi tender terbuka.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, sekiranya pemotongan harga yang munasabah boleh dicapai dengan mutu kerja terjamin, sesuatu projek itu boleh dipertimbangkan untuk diteruskan.

Katanya, pemotongan atau pengurangan harga perlu melebihi sebarang pampasan atau ganti rugi yang perlu dibayar sekiranya kontrak dibatalkan.

“Formula paling baik adalah mencapai harga munasabah tertakluk kepada mutu kerja yang terjamin dan ia dicapai dalam projek LRT3 serta MRT2, sekali gus menguntungkan rakyat.

“Apapun, kos sekilometer projek terbabit di bawah kerajaan Pakatan Harapan adalah lebih murah berbanding pentadbiran sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 3:31 PM