PAKAR Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


PAKAR Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menolak cadangan dibuat peguam Syazlin Mansor bahawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pada malam kejadian rusuhan berhampiran Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu.

Saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, ini berikutan dalam video rakaman di tempat kejadian, ada satu tempoh masa singkat yang tidak merakamkan kejadian itu.

“Rakaman video itu memfokuskan ke arah jalan raya dan pokok dan kemudian difokus semula pada jentera itu.

“Dalam tempoh masa singkat itu adalah mustahil untuk si mati diserang ,” katanya ketika menjawab soalan Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.

Berdasarkan video yang pernah ditayangkan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad yang berdurasi 46 saat itu, Muhammad Adib masih ada di dalam van EMRS pada saat pertama hingga saat ke-28 dan pada saat ke-38, van EMRS sudah berpusing.

Menurut saksi sama, tiada bukti forensik selepas melakukan pemeriksaan klinikal dan bedah siasat yang menunjukkan kesan lebam Muhammad Adib jika ditarik.

“Contoh jika seseorang bertubuh tegap ditarik dan anggota beruniform yang terlatih, ia pasti akan mengambil masa yang lama,” katanya.

Dalam prosiding sama, Ahmad Hafizam tetap mempertahankan teori kebarangkalian yang diperolehnya itu mengenai kejadian yang menimpa Muhammad Adib.

“Teori keberangkalian kemungkinan berlaku yang diterangkan kepada mahkamah adalah hasil dapatan dari jangka masa video rakaman itu.

“Jika ditarik, pelaku bukan sahaja menarik untuk mengeluarkan seseorang itu tetapi perlu mencengkam sebarang anggota badan yang boleh dipegang,” katanya.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan klinikal dan mayat, tiada tanda cedera lebam yang berpadanan dengan kesan cengkaman.

“Jika kekasaran dilakukan dari arah belakang, walaupun mangsa dalam keadaan tidak bersedia dan sedar, dia masih boleh mempertahankan diri,” katanya yang tetap mempertahankan teori kebarangkalian yang dibuatnya walaupun Syazlin mempersoalkan kedudukan Muhammad Adib yang masih berada di dalam van EMRS ketika pengunduran jentera Fire Rescue Tender (FRT) melanggar van EMRS berkenaan.

Saksi sama berkata, teori yang dilakukan adalah berdasarkan kecederaan pada tubuh si mati, bukan ketika mangsa berada dalam EMRS dan mangsa mendapat kecederaan selepas keluar dari van EMRS itu.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung petang ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 3:11 PM