Skip this ad x
FOTO hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa bapa tirinya apabila beberapa kali dirogol lelaki durjana itu antara Februari hingga Jun tahun lalu.

Sumber berkata, remaja itu mendakwa dirogol lelaki berkenaan di rumah mereka di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu ketika ketiadaan ibu mangsa.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu hanya diketahui ibu mangsa pada Selasa lalu selepas anaknya menceritakan kejadian sebelum wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada hari sama.

“Mangsa mendakwa dirogol tiga kali oleh bapa tirinya antara Februari hingga Jun tahun lalu dalam bilik rumah mereka ketika ibunya tiada.

“Mangsa mendakwa bimbang untuk menceritakan kejadian termasuk kepada ibunya kerana diugut suspek setiap kali diperlakukan demikian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, seorang lelaki yang menggunakan nama Muzhaffar memuat naik satu hantaran mencari seorang lelaki yang didakwa merogol seorang gadis dikenali, dengan menyebarkan beberapa keping gambarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 5:05 PM