MUHAMMAD Adib
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SAKSI pakar hari ini memperincikan di Mahkamah Koroner di Shah Alam, turutan kejadian yang mungkin menyebabkan kecederaan terhadap anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November 2018.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, ia berdasarkan kesan corak kecederaan, keadaan kenderaan dan lakonan semula (rekonstruksi) insiden berkenaan.

Saksi inkues ke-24 itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada prosiding hari ke-19 inkues kematian Muhammad Adib.

SYAZLIN: Adakah kamu boleh nyatakan secara spesifik kecederaan dialami mangsa berdasarkan corak kecederaan dan keadaan kenderaan dan reskonstruksi (lakonan semula) kejadian itu?

DR AHMAD HAFIZAM: Pada pandangan saya, sequence (turutan) berdasarkan kecederaan, pertamanya kesan calar belakang kiri yang melintang apabila mangsa keluar dari van EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) dalam keadaan kekecohan yang sebabkan bahagian kiri bergeser dengan struktur plate.

Kemudian, mangsa berdiri menghadap belakang dan berlaku pergerakan van EMRS yang mengundur secara mengejut yang menyebabkan hujung pintu EMRS kiri menghentam dan memberikan impak kuat kepada tulang rusuk kiri satu hingga tujuh (kepatahan korteks).

Kemudian, sebabkan mangsa terhumban ke depan dan bahagian dada kanan dan bahagian dalam lengan atas kanan mengenai satu objek yang keras, tumpul dan lebar.

Kemudian, mangsa jatuh dengan lutut kanan mengenai permukaan keras. Siku kiri kena permukaan keras sebabkan calar pada belakang siku kiri dan calar lutut.

Menjawab soalan lain Syazlin, Dr Ahmad Hafizam berkata, turutan ini berdasarkan dapatan pihaknya ketika ingin melakukan lakonan semula di lokasi kejadian.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada 17 Disember lalu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 5:41 PM