Siti A’isyah Sukaimi


“PERKARA pertama saya nak buat ialah memohon kad Transit Aliran Ringan (LRT) untuk mudah berulang-alik selain membuka akaun bank,” kata penuntut Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Roisah Abdullah, 22, selepas menerima kelulusan permohonan warganegara Malaysia oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kelulusan itu sekali gus membolehkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Kapar, Klang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67 berkenaan memohon kad pengenalan MyKad.

Dia yang menjadi anak angkat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kini tidak perlu lagi menghadapi masalah berkaitan dokumentasi berikutan masalah itu menghantuinya sekian lama.

“Rasa terkejut dan teruja sebab sekian lama (memohon), tiba-tiba ia (kelulusan) terus ada di depan mata. Permohonan pertama kali dibuat pada 2013 tetapi ditolak, seterusnya pada 2018 memohon semula dengan bantuan Yang Berhormat (Zuraida).

“Saya dilahirkan di sebuah klinik di Klang dengan tiada langsung dokumen pengenalan diri. Pada 2013, bermulalah urusan, antaranya daftar lewat bagi sijil kelahiran untuk warga asing (warna merah) selain surat sumpah ibu angkat serta pelbagai lagi urusan,” katanya yang ditemui ketika hadir mengambil surat kelulusan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Zuraida manakala, KDN diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Dan Kawalan) KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz.

Dalam pada itu, Roisah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan individu yang membantunya selain bersyukur kerana walaupun tidak mempunyai MyKad, dia berpeluang melanjutkan pengajian ke UniRAZAK dengan biasiswa disediakan pihak universiti selepas kisahnya dipaparkan dalam media sebelum ini.


ROISAH bersama ibu angkatnya, Zuraida. FOTO Luqman Hakim Zubir.

“Sebenarnya banyak kesukaran apabila tidak mempunyai pengenalan sebagai orang Malaysia misalnya, tidak boleh menyertai aktiviti yang memerlukan MyKad, tidak boleh membuka akaun bank, tidak boleh ambil lesen kereta selain perlu ke klinik swasta dengan membayar harga mahal,” katanya.

Pada masa sama, Roisah berkata, sebelum ini dia tinggal bersama ibu angkat dan selepas wanita itu meninggal dunia, dia kini dipelihara oleh saudara kepada ibu angkatnya.

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau diperkenalkan dengan Roisah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mengambil keputusan membantu gadis itu membuat permohonan kewarganegaraan pada 2018 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Ketika itu, beberapa prosedur harus dilaksanakan antaranya tuntutan di mahkamah namun selepas itu, saya tidak membuat susulan di JPN mengenai status permohonan itu.

“Apa yang dimaklumkan oleh pegawai iaitu surat mengenai status permohonan sudah dikeluarkan pada Oktober 2018 malangnya, saya tidak menerima surat itu.

“Justeru, pada hari ini sebagai ibu angkat, saya perlu datang untuk mengambil surat dari KDN selain perlu bawa sekali anak angkat. Alhamdulillah, usaha dibuat hampir setahun mendapat hasilnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 6:13 PM