LOKASI kemalangan membabitkan dua kenderaan yang menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia di Jalan Machang-Pasir Puteh, Machang, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca.
Siti Rohana Idris


KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun maut selepas terpelanting keluar dari pacuan empat roda Nissan Navara dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 10.6, Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Machang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Aufa Nadrah Muhamad Aisa meninggal dunia di tempat kejadian apabila kenderaan dipandu datuknya, Zahari Ab Liah, 58, merempuh sebuah kereta sebelum terbalik dan berpusing beberapa kali.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain, berkata ketika kejadian, mangsa bersama tujuh yang lain dalam perjalanan menghadiri kenduri di Batu Mangkebang, Kuala Krai.

“Ketika kejadian, pemandu Perodua Myvi dari Muka Bukit dipercayai mahu pulang ke rumahnya di Taman Animaz, Kampung Bechah Ulu Sat, Machang dan sudah memberi lampu isyarat untuk membelok ke simpang kanan.

“Ketika kereta itu membelok masuk ke simpang, tiba-tiba Nissan Navara dari arah Pasir Puteh menghala Machang cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum melanggar kenderaan di hadapannya.

“Pemandu Nissan Navara gagal mengawal kenderaannya lalu terbalik dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke laluan bertentangan mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, empat penumpang lain hanya cedera ringan manakala pemandu dan seorang lagi penumpang tidak cedera.

“Ibu kanak-kanak malang itu, Siti Asiah Hanis Hamzah, 27, turut cedera di kepala. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 6:20 PM