Seorang pemandu maut manakala 14 lagi cedera, termasuk enam parah dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI maut, manakala 14 individu lagi cedera dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Alza dengan Honda Stream di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands di Tapah, hari ini.

Dalam kemalangan itu, pemandu Perodua Alza, Mohd Ayup AB Rahman, 55, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah akibat parah di badan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan lapan penumpang Perodua Alza cedera, begitu juga pemandu Honda Stream dan enam penumpang lain kenderaan itu turut menerima nasib sama.

Daripada 14 yang cedera itu, enam daripadanya parah. Hanya seorang penumpang Honda Stream yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dinaiki sembilan individu itu dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands.

“Apabila tiba di tempat kejadian, Perodua Alza berkenaan dipercayai dilanggar Honda Stream yang datang dari arah bertentangan dan menyebabkan kemalangan itu.

“Kemalangan itu turut mengakibatkan 14 mangsa kesemuanya cedera serta parah dan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 7:41 PM