DUA anggota APM, Koperal Mohd Ashri Othman dan Siti Murni Amat maut selepas ambulans yang mereka naiki terbabas dan terbalik di FELDA Kahang Timur, Kluang. FOTO ihsan APM
Adnan Ibrahim


DUA anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut manakala dua lagi cedera ringan selepas ambulans yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbabas di FELDA Kahang Timur, Kluang, kira-kira jam 3.40 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian berlaku ketika semua anggota APM itu dalam perjalanan pulang dari Hutan Lipur Gunung Belumut sebaik selesai bertugas di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor.

“Siasatan mendapati apabila tiba di tempat kejadian, ambulans dipandu Mohd Ashri Othman, 50, hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar satu papan tanda menyebabkan kenderaan itu terbalik dan berpusing.

“Akibat kejadian itu, Mohd Ashri yang duduk di bahagian pemandu dan Siti Murni Amat Khalid, 34, di bahagian penumpang belakang cedera parah di muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Abduh berkata, dua rakan setugas mangsa, Mohd Faizal Jalil, 30, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dan Nurul Hajira Narizan, 28, di bahagian belakang ambulans cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Mohd Asri, Nurul Syafiqah, 23, berkata kali terakhir dia bertemu arwah bapanya kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum pergi ke tempat kerja masing-masing.

Katanya, ketika pulang ke rumah waktu makan tengah hari, ibunya, Norazilah Ahmad, 46, ada menyatakan hatinya berdebar-debar selain mata sering berkedip seolah-olah akan mendapat berita sedih.

“Tidak disangka telahan ibu betul-betul berlaku, malah ia membabitkan orang yang kami sayang walaupun pada asalnya tidak mahu percaya dengan telahan ibu.

“Ini kerana sepanjang dua minggu tinggal di rumah kerana cuti semester, arwah bapa sentiasa ceria seperti biasa terutama ketika bersama tiga anak-anaknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 9:12 PM