KAKAK Muhammad Nor Saiful, Fatin Najiha (tiga dari kanan) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi mewakili arwah bapanya, Shammudin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


“SAYA minat nak jadi anggota bomba, tetapi arwah ayah nak saya ceburi bidang kejuruteraan pesawat,” kata Muhammad Nor Saiful Amri Shammudin, 20.

Muhammad Nor Saiful yang kini menjalani latihan amali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah anak kedua kepada pegawai bomba, Shammudin Hasan, 51, yang maut dalam kemalangan ketika ke tempat kerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Khamis, minggu lalu.

Muhammad Nor Saiful yang juga anak tunggal lelaki pegawai bomba itu berkata, dia selalu ingat pesan bapanya supaya sentiasa menjaga solat untuk berjaya, selain berusaha untuk berjaya dalam hidup.

“Memang ada minat nak jadi bomba, ikut macam ayah, tapi ayah nak sangat saya jadi jurutera pesawat, jadi saya akan penuhi impiannya,” katanya.

Muhammad Nor Saiful ditemui bersama kakaknya, Fatin Najiha, 23, yang mewakili arwah bapanya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan APC 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor di Iskandar Puteri, hari ini.

Allahyarham Shammudin antara 140 pegawai dan anggota bomba yang dianugerahkan APC 2018 pada majlis disempurnakan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis dan Timbalan Pengarah JBPM Johor, Pauzan Ahmad.

Pada majlis itu, seramai 27 individu menerima Pingat Kebesaran Jabatan.

Sementara itu, Fatin Najiha yang juga kakak sulung daripada tiga beradik berkata, kini tanggungjawabnya lebih besar selepas ketiadaan bapanya untuk menanggung keluarga termasuk ibunya, Rosselin Mohd Dahlan, 50 dan seorang lagi adik perempuannya berusia 17 tahun.

“Susah nak terima, besar tanggungjawab ini sebab selama ini belum pernah hidup berdikari lagi, tetapi saya akan pikul tanggungjawab ini.

“Saya teringat arwah ayah sangat teruja dan bangga untuk menerima APC kali kedua ini.

“Sehari sebelum kemalangan arwah pergi ke balai untuk ambil gambar bagi tujuan majlis ini dan arwah beritahu dia hendak sangat datang ke majlis hari ini untuk mengambil sendiri anugerah tetapi tidak kesampaian,” katanya.

Arwah Shammudin berkhidmat dalam JBPM selama 29 tahun.

Ketua BBP Ayer Hitam, Othman Mohd Baher berkata, pada hari kejadian Allahyarham Shammudin pulang sebentar ke rumah untuk mengambil dompet yang tertinggal.

“Arwah bertugas sebagai pemandu jentera, jadi dia sudah tiba di balai kira-kira 8 pagi, namun dompetnya yang berisi lesen memandu tertinggal, dia mohon pulang ke rumah untuk mengambilnya.

“Saya izinkan, namun saya dikejutkan dengan berita arwah meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lori dari arah belakang pada jarak kurang satu kilometer dari balai.

“Ini bermakna dia sudah dalam perjalanan pulang semula ke balai dan hampir tiba,” katanya.

Othman menyifatkan Allahyarham Shammudin sebagai seorang pegawai bomba berdedikasi, komited dengan kerja dan tidak pernah mencari alasan atas setiap arahan yang diberi.

“Arwah juga antara kumpulan pegawai bomba yang pertama ditugaskan di BBP Ayer Hitam sejak balai ia dibuka pada 2015,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 10:57 PM