MANGSA (tengah) menunjukkan risalah ugutan yang ditampal di pagar rumahnya oleh along sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang (kanan) ketika ditemui di  Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum di sini.  FOTO Shahrinnahar Latib
MANGSA (tengah) menunjukkan risalah ugutan yang ditampal di pagar rumahnya oleh along sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang (kanan) ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum di sini. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


LELAKI tergamak memberi alamat dan nombor telefon ibunya kepada ceti haram atau along bagi membolehkan sindiket berkenaan menuntut bayaran hutangnya.

Akibat tindakan anak bongsu daripada tiga beradik itu menyebabkan ibunya yang tinggal di Alor Akar, di Kuantan, hidup dalam ketakutan kerana sering diganggu sehingga terpaksa menukarkan nombor telefon.

Warga emas berusia 64 tahun itu berkata, mereka sekeluarga sudah hampir tujuh tahun terpisah dengan anaknya dan dia langsung tidak menghubunginya sejak itu.

“Sebelum ini, dia pernah berhutang dengan along sebanyak RM58,000, namun saya yang tolong selesaikan bayaran kepada along. Masalah ini berpunca akibat tabiat dia yang suka berjudi.

“Kemudian dia kata hendak pergi bekerja di Singapura dan sejak itu, dia langsung tidak menghubungi saya atau balik ke rumahnya di sini,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, di Kuantan, hari ini.

Suri rumah itu berkata, Khamis lalu sekumpulan lelaki dipercayai along muncul di hadapan rumahnya sebelum menampal risalah meminta supaya mangsa menjelaskan hutang anaknya.

“Mereka turut menggugut saya supaya membayar hutang yang dibuat anak. Mereka tidak bagi tahu jumlah hutang itu. Mereka dakwa akan simbah cat merah ke rumah saya jika tidak membayarnya.

“Setiap hari along ini akan telefon saya. Hampir 20 kali setiap hari mereka telefon... Ini menyebabkan saya terpaksa menukar nombor telefon yang baru bagi mengelak diganggu,” katanya.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis dan kini sudah tidak mahu ada apa-apa ikatan dengan anak lelakinya itu.

“Dia membuat pinjaman along untuk berjudi, kemudian dia beritahu along supaya kutip semula duit mereka daripada saya. Dia turut menyerahkan segala butiran peribadi saya dan kakaknya kepada along berkenaan.

“Saya sudah tidak tahan... Saya tidak mahu lagi ada apa-apa kaitan dengan dia, cukuplah saya bantu dia sebelum ini. Saya juga harap pihak berkuasa mengambil tindakan kepada along yang mengugut dan menakutkan keluarga saya.

“Jika berlaku lagi saya tidak teragak-agak untuk tampil membuat laporan polis lagi. Jangan ganggu dan cari saya, wang dipinjam anak saya, pergi cari dia, bukan saya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang berkata, along perlu menuntut bayaran mereka daripada individu yang meminjam, bukan daripada keluarga atau penjamin.

“Saya mahu along berhenti menakutkan mereka yang tiada kaitan dalam urusan peminjaman. Ini satu jenayah, jangan ingat mereka boleh sewenang-wenangnya melakukan peras ugut kerana laporan polis sudah dibuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 1:56 PM