PENGHANTAR surat khabar maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Tun Jugah, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi


PENGHANTAR surat khabar maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Tun Jugah, di Kuching, hari ini.

Kejadian kira-kira 6.15 pagi itu berlaku ketika lelaki warga emas itu, Chong Kui Hin, 67, menunggang motosikal jenis Honda C100 dalam perjalanan menghala ke Kuching Sentral, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dirempuh dari belakang oleh kereta jenis BMW.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, mangsa terhumban ke bahu sebelah kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

“Kereta yang melanggar mangsa bagaimanapun melarikan diri, namun ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Airport, berhampiran Kuching Sentral.

“Kereta BMW yang kemek di bahagian depan itu kemudian ditunda ke Balai Trafik untuk tindakan lanjut,* katanya.

Alexson berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemandu kereta terbabit yang melarikan diri selepas kejadian itu.

“Kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 2:12 PM