Urusetia membuat persiapan terakhir di Dewan SJKC Bandar Sri Sendayan untuk penamaan calon esok. FOTO Saifullizan Tamadi
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjangka 70 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Prof Dr Azmi Sharom berkata, pihaknya bagaimanapun berharap pengundi turun menunaikan tanggungjawab mereka dan jumlah itu melebihi anggaran awal.

Menurutnya, Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan sudah bersedia digunakan untuk hari penamaan calon esok.

“SPR berharap calon dan penyokong parti masing-masing tidak melakukan provokasi sehingga menimbulkan ketegangan sepanjang tempoh berkempen.

“Undang-undang pilihan raya perlu dipatuhi agar proses demokrasi ini berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.

“SPR juga mendapat bantuan 300 anggota polis untuk penamaan calon esok,” katanya ditemui selepas melawat Pusat Penamaan Calon di SJKC Bandar Sri Sendayan hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sehingga hari ini pihaknya sudah menjual lapan borang pencalonan masing-masing satu dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) manakala selebihnya dari calon bebas.

PRK DUN Rantau akan memulakan tirainya esok apabila parti dan individu yang bertanding akan menyerahkan borang pencalonan bermula jam 9 pagi manakala hari pengundian 13 April ini.

PH diwakili Dr S Streram yang dicabar penyandang kerusi kawasan itu yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili BN.

Dr Streram adalah calon PKR bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan di Mahkamah Tinggi Seremban, 23 Mei lalu.

Mahkamah Tinggi Seremban pada 16 September lalu mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad diumumkan menang selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan disebabkan tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:37 PM