Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan akan memberi tumpuan kepada golongan pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan penamaan calon akan diadakan esok.

Ketuanya, Ahmad Izzudin Ismail berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dengan jentera di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kita akan memberi tumpuan kepada PDM Taman Angsa Mas kerana PDM itu kita menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.

“AMK Negeri Sembilan tidak mahu menggerakkan jentera pada minit terakhir, kita sudah kenal pasti beberapa masalah di kawasan ini sebelum ini lagi, jadi kita sudah buat kerja awal,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Menurutnya, sebanyak 46 peratus pengundi di DUN Rantau terdiri daripada orang muda dan sudah pasti segala gerak kerja akan tertumpu untuk bersama dengan mereka sepanjang tempoh kempen.

Katanya, kempen berskala kecil dari rumah ke rumah akan digerakkan secara menyeluruh bagi memberi penjelasan kepad rakyat mengenai situasi semasa terutama di negeri itu.

“Ini adalah inisiatif AMK sendiri dan kita berharap ia dapat memberi manfaat kepada parti dan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi PRK ini.

“Walaupun calon pembangkang, Datuk Seri Mohamad Hasan seorang tokoh di sini, kita sudah bersedia kerana ada beberapa isu yang patut diangkat sepanjang beliau menjadi wakil rakyat sebelum ini,” katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau sebagai terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan. Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN itu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 6:53 PM