Muhammad Adib. FOTO Arkib NSTP
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my


ANDAIAN awal kecederaan dialami anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat diserang dalam rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya diketepikan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) hanya selepas melakukan bedah siasat terhadap mangsa.

Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, berkata bedah siasat itu dijalankan pada 18 Disember lalu, sehari selepas mangsa yang cedera parah dalam kejadian rusuhan itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Terdahulu, saksi inkues ke-27 itu berkata, pihaknya dimaklumkan oleh polis untuk melakukan bedah siasat untuk mencari punca kecederaan.

“Setelah dimaklumkan polis, kami mulanya mengandaikan kecederaan yang dialami mangsa disebabkan diserang seperti dipukul, ditendang dan ditumbuk.

“Namun, selepas pemeriksaan dijalankan itu, kami tidak yakin dengan corak kecederaan dialami Muhammad Adib sebagai serangan,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada hari ke-20 prosiding inkues mencari punca kematian Muhammad Adib.

Saksi sama berkata, pihaknya bernasib baik kerana dipanggil awal untuk melakukan pemeriksaan klinikal pada 30 November 2018 kerana dapat membezakan cedera awal dan selepas dialami Muhammad Adib.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Forensik yang melakukan bedah siasat Muhammad Adib mendapati tulang rusuk kiri belakang patah.

“Kami tertanya-tanya ketika itu kerana kami tidak dimaklumkan perkara itu pada peringkat awal.

“Selepas bedah siasat, kami masih tidak boleh membantu pihak polis dan tidak diberikan maklumat mana Muhammad Adib berada ketika kejadian rusuhan itu,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN, pada 17 Disember tahun lalu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Isnin depan.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 7:22 PM