KELSOM menunjukkan dua helai tudung dibelikan oleh arwah beberapa hari sebelum anaknya meninggal maut. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


HANYA hadiah dibelikan arwah anak menjadi tanda ingatan terakhir buat sepasang suami isteri selepas anak lelaki mereka rentung dalam kemalangan membabitkan dua lori simen di Kilometer 135 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran kolam memancing Chaah, jam 5.50 pagi tadi.

Ibu mangsa, Kelsom Ahmad, 57, berkata, anaknya Mohd Sukhairi Sulaiman, 35, sering berulang-alik dari rumah mereka di Felda Kemelah ke Singapura untuk menghantar bancuhan simen secara pukal.

“Beberapa minggu sebelum kemalangan, Mohd Sukhairi belikan macam-macam barang keperluan rumah. Dia belikan mesin basuh, peti ais dan penghawa dingin dengan alasan untuk kemudahan dan keselesaan kami sedangkan kami mempunyai semua barangan itu dan masih dalam keadaan baik.

“Malah, dia juga berkeras mahu membelikan saya tudung tapi saya enggan. Tanpa disangka dia belikan juga dengan senyap-senyap secara atas talian dan saya hanya mengetahui perkara itu sebaik tudung berkenaan tiba di rumah beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kemelah di Segamat, hari ini.

Kelsom berkata, anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu tujuan dia membelikan tudung itu untuk memudahkannya menghadiri majlis bacaan Yassin dan kenduri di sekitar kampung.

“Arwah dikenali sebagai seorang yang tegas namun disenangi serta matang, dia sering mengingatkan rakan sebaya dan remaja supaya menjauhi dadah dan tidak membuang masa dengan media sosial semata-mata, sebaliknya cubalah membantu ibu bapa masing-masing.

“Memang sebak apabila mengenangkan barang-barang yang arwah beli untuk kami, ia adalah hadiah dan tanda ingatan terakhir kami kepadanya. Malah, arwah sempat membelikan sebuah kereta pacuan empat roda bernilai lebih RM100,000 untuk bapanya.

“Pada awalnya, bapa dia (Sulaiman Mohamad, 63) tidak mahu kerana terlalu mahal dan arwah pula hanya guna kereta biasa. Namun dia berkeras kerana baginya beli banyak mana pun tak akan mampu balas jasa ibu dan bapa besarkan dia. Kata-kata itu membuatkan hati bapanya lembut dan menerima hadiah itu,” katanya.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian dia masih terbayang Mohd Sukhairi makan dengan selera bersama keluarga.

“Malah, lauk sardin yang saya masak dimakan dengan berselera sekali. Dia asyik puji cakap masakan saya sedap dan berbeza berbanding sebelum ini.

“Arwah juga sempat bawa bekal lauk sardin yang saya masak. Dia bawa banyak kerana mahu berkongsi dengan rakan-rakannya. Tak sangka itulah kenangan terakhir kami bersama dia,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, reda dengan kejadian itu dan mendapat tahu kemalangan berkenaan pada jam 8.30 pagi ketika berada di kebun.

“Malam sebelum kejadian, Mohd Sukhairi ada beritahu perjalanannya ke Singapura secara konvoi bersama seorang lagi rakannya yang memandu lori namun saya tidak sangka dia akan merempuh lori itu hingga menyebabkan kebakaran,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan jam 5.30 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Felda Kemelah.

Berita berkaitan

Rentung nahas dua lori simen

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 8:04 PM