Ekhwan Haque Fazlul Haque


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah menjual lapan borang pencalonan menjelang hari penamaan calon esok bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April ini.

Borang pencalonan itu terjual, masing-masing satu dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), manakala selebihnya calon bebas.

Timbalan Pengerusi SPR, Prof Dr Azmi Sharom berkata, Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan sudah bersedia digunakan untuk hari penamaan calon esok.

“SPR berharap calon dan penyokong parti masing-masing tidak melakukan sebarang provokasi sehingga menimbulkan ketegangan sepanjang tempoh berkempen.

“Undang-undang pilihan raya perlu dipatuhi agar proses demokrasi ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“SPR juga mendapat bantuan kira-kira 300 anggota polis sepanjang tempoh penamaan calon esok” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Penamaan Calon di SJKC Bandar Sri Sendayan di Rembau, hari ini.


Urus Setia Pilihan Raya, Mohd Zamel Zulkafle menjalankan persiapan bagi proses penamaan calon PRK DUN Rantau. FOTO Saifullizan Tamadi

Azmi turut menjangkakan 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab dalam PRK DUN Rantau, 13 April ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berharap pengundi akan turun menunaikan tanggungjawab mereka dan jumlah itu melebihi anggaran awal.

PRK DUN Rantau akan memulakan tirainya esok apabila parti dan individu yang bertanding akan menyerahkan borang pencalonan bermula jam 9 pagi manakala hari pengundian pada 13 April ini.

PH akan diwakili Dr S Streram akan dicabar penyandang kerusi kawasan itu yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili BN.

Dr Streram adalah calon PKR bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan di Mahkamah Tinggi Seremban, 23 Mei lalu.

Mahkamah Tinggi Seremban pada 16 September lalu mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad diumumkan menang selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan disebabkan tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 10:26 PM