DR S Streram (tengah) ketika hadir untuk menyerahkan borang pencalonannya, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram lega apabila pencalonannya untuk bertanding kali ini diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya gembira hari ini kerana akhirnya dapat membuat pencalonan dan peluang yang diberikan pimpinan PH untuk PRK ini akan digunakan sebaik mungkin.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenangkan kerusi ini,” katanya pada sidang media selepas Pengumuman Calon PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, Rembau, hari ini.

Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Dr Steram yang juga pakar bius gagal menghantar borang penamaan calon selepas dihalang masuk ke pusat penamaan kerana tiada pas rasmi SPR.

Ia sekali gus menjadikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan diumum menang tanpa bertanding.

Pada 23 Mei tahun lalu, Dr Streram memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan PRU-14 di Mahkamah Tinggi Seremban dan susulan itu, mahkamah pada 16 September mengisytiharkan kemenangan Mohamad tidak sah.

PRK DUN itu diadakan menyaksikan kedua-duanya bertemu kembali untuk persaingan empat penjuru bersama dua calon Bebas.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 12:22 PM