MANGSA meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


PERJALANAN seorang pegawai bomba bantuan ke tempat kerja berakhir tragedi apabila motosikal ditunggang melanggar kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 58, Jalan Teluk Intan-Klang, Sungai Nibong, Sungai Besar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, Muhammad Hazlami Hisamudin, 21, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah Ford Ranger yang dipandu lelaki berusia 46 tahun datang dari arah Sungai Besar menghala ke Batu 23.

“Setibanya di lokasi, pacuan empat roda itu dipercayai membelok masuk ke arah kanan persimpangan di kawasan berkenaan.

“Ia menyebabkan mangsa yang menunggang Honda RS 150 dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan itu,” katanya kepada Harian Metro.

Chee Koon berkata, pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Sabak Bernam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Saufi Zakaria berkata, Allahyarham disifatkan sebagai seorang anggota yang mematuhi arahan dan tidak pernah mengenal erti penat lelah ketika bertugas.

“Muhammad Hazlami yang berkhidmat selama dua tahun di balai kami amat dikenali sebagai seorang rakan sekerja yang gemar bergurau dan mudah didekati.

“Beliau sepatutnya memasuki kerja syif jam 8 malam hingga 8 pagi. Namun, tidak sangka dia ‘pergi’ meninggalkan kami semua,” katanya.

Menurutnya, seluruh warga BBP Sabak Bernam reda akan ketentuan Ilahi dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan bersama solihin.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tali Air Tujuh, Sungai Leman, Sekinchan, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 2:50 PM