FOTO Hiasan
Fairuz Zaidan


KEMENTERIAN Kesihatan komited dalam memastikan Akta Kawalan Tembakau dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi menjadikan semua tempat awam sebagai kawasan larangan merokok dan mewujudkan lokasi khusus bagi perokok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha yang dibuat kementerian itu bukanlah bertujuan untuk ‘menghukum’ perokok tetapi bagi melindungi masyarakat khususnya wanita dan kanak-kanak daripada menjadi mangsa asap rokok.

Beliau berkata, pihaknya yakin usaha itu mampu dilaksanakan walaupun percaya bukanlah tugas mudah melakukan perubahan atau penambahbaikan khususnya kepada golongan perokok.

“Diharapkan suatu hari nanti kita turut mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang merokok di kawasan terpencil tanpa mengira lokasi bagi kesalahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Program ‘Revolution Smoke Free’ Melaka hari ini.

Pada majlis itu, 14 hotel di negeri itu menerima pensijilan ‘Revolution Smoke Free Workplace’ yang disampaikan Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly berkata, asap tembakau mempunyai ribuan bahan kimia termasuk yang diketahui mengakibatkan kanser, penyakit jantung, paru-paru dan masalah kesihatan serius lain.

“Undang-undang serta dasar lebih ketat perlu digubal dan dikuatkuasakan untuk melindungi sepenuhnya masyarakat daripada pencemaran asap tembakau.

“Kita tidak boleh melakukannya sendirian. Sebaliknya, saya menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan lain dan sektor swasta menyokong usaha kementerian bagi mewujudkan persekitaran yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 11:44 PM