PEMANDU kereta BMW yang didaftarkan atas nama sebuah syarikta diburu polis kerana terbabit dengan kejadian langgar lari. FOTO Ihsan Polis
Mohd Roji Kawi


POLIS memburu pemandu kereta BMW berwarna putih yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penghantar surat khabar maut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan semakan pihaknya, kereta berkenaan didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

Bagaimanapun, katanya, ketika pegawai penyiasat pergi ke alamat yang didaftarkan, syarikat terbabit didapati sudah tidak lagi beroperasi.

“Setakat ini tiada sesiapa yang datang menuntut kereta berkenaan dan belum ada yang tampil mengaku memandu kereta itu ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dan mengetahui pemandu kereta terbabit ketika kejadian, diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Alexson berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian 6.15 pagi semalam, penghantar surat khabar maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Tun Jugah di Kuching.

Mangsa, Chong Kui Hin, 67, yang menunggang motosikal Honda C100 dalam perjalanan menghala ke Kuching Sentral, maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Kejadian itu berlaku apabila motosikal lelaki itu dirempuh kereta BMW itu dari belakang menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan.

Pemandu yang melanggar mangsa melarikan diri, namun kenderaannya ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Airport, berhampiran Kuching Sentral.

Kereta BMW yang kemek di bahagian depan itu kemudian ditunda ke Balai Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 12:08 AM