Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


BEBERAPA kerja penambahbaikan di Pasar Pekan Rantau menjadi antara usaha dilakukan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April ini.

Menurut doktor pakar bius itu, secara keseluruhan, pasar berkenaan dalam keadaan baik termasuk kebersihan namun masih boleh ditambah baik demi keselesaan peniaga dan pengguna.

“Antaranya saya lihat ada bahagian pasar yang terbiar kerana sudah lama tidak digunakan, jadi mungkin kita boleh perbetulkan supaya lebih ramai peniaga dapat beroperasi untuk menambah pendapatan mereka.

“Selain itu, kita akan berusaha memperbetulkan kemudahan di pasar ini agar ia lebih selamat dan mesra pengguna,” katanya ketika ditemui pada program kempen tinjauan mesra di pasar berkenaan pagi tadi.


DR Streram beramah mesra bersama penduduk di Pasar Pekan Rantau sempena kempen PRK Rantau. FOTO Adzlan Sidek

Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu berkata, beliau juga membantu peniaga mengisi kekosongan di tujuh gerai di pasar berkenaan sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.

PRK DUN Rantau 13 April ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara Dr Streram, penyandang kerusi kawasan Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, R Malarvizhi, 51, dan Mohd Nor Yassin, 67.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 10:39 AM