KETUA Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim (dua dari kiri) dan Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Muhammad Ezanni Mat Salleh (kiri) memantau kualiti udara di sekolah ketika melakukan lawatan berkaitan pencemaran Sungai Kim Kim di SMK Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass


DATA pemantauan kualiti udara di 20 sekolah dalam radius 15 kilometer dari Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, adalah baik dan pada paras dibenarkan.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Ahmad Kamarulnajuib Ibrahim berkata, jabatan berkenaan juga menjalankan pemantauan kualiti udara di lokasi tertentu di sekitar Pasir Gudang dan mendapati keadaannya baik.

Beliau berkata, JAS akan melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan yang terjejas bagi memastikan kualiti udara baik bagi penduduk dan warga sekolah.

Menurutnya, pemantauan juga dilakukan bagi memastikan kejadian pelepasan bahan toksik ke udara tidak berulang.

“KIta akan meningkatkan pengawasan berkala mengikut frekuensi ditetapkan menggunakan alat lebih spesifik bagi membaca parameter yang rendah kepekatannya.

“Malah kita mempertingkat penguatkuasaan terhadap kilang-kilang yang tidak mematuhi peraturan iaitu melepaskan efluen tanpa dirawat.

“Efluen berkenaan seharusnya perlu dilupuskan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau dilupuskan sekiranya sudah mencecah 20 tan,” katanya.

Ahmad Kamarulnajuib berkata, pihaknya sudah mengeluarkan kompaun terhadap 60 kilang di Pasir Gudang yang didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurutnya, jumlah kompaun adalah RM2,000 dan tindakan mahkamah juga boleh diambil terhadap mereka.

“Kami juga dalam perancangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Sisa-sisa Toksik dan Pembuangan Terjadual dan sedang menyediakan draf.

“Ia akan dikemuka kepada pihak berkaitan dalam tempoh masa terdekat.

“Fungsi penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah bagi membuat keputusan berkaitan isu pengurusan sisa toksik pada masa depan,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, hari ini.

SMK Pasir Putih antara 111 sekolah terjejas dalam pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lalu.

Hadir sama, Pengarah JAS Negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 3:30 PM