GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


DUA penyamun bertopeng melarikan wang tunai RM100,000 selepas memecah masuk kilang jeruk terkemuka di Pulau Pinang di Simpang Ampat, dekat Nibong Tebal, semalam.

Kejadian hanya disedari 9 pagi selepas seorang pekerja wanita melihat siling jatuh berselerak di lantai ketika mahu masuk bekerja sebelum dia menghubungi pengurus kilang terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafee Abd Samad berkata, pengurus terbabit kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan selepas membuat pemeriksaan dia mendapati pejabatnya berselerak dan peti besi sudah dipecahkan.

“Pengurus berkenaan mendapati wang dalam peti besi bernilai RM100,000 dilarikan penjenayah.

“Pemeriksaan mendapati wang dalam peti besi itu adalah hasil daripada jualan jeruk yang tidak sempat dimasukkan dalam bank,” katanya.

Shafee berkata, pemeriksaan lanjut polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki bertopeng, berbaju lengan panjang serta bersarung tangan dilihat berada di tempat kejadian kira-kira 12 tengah malam.

“Suspek dipercayai mengumpil atap genting menggunakan kuku kambing seterusnya mereka memecah siling dan masuk ke kilang.

“Mereka kemudian memecahkan peti besi dengan menggunakan mesin penebuk dinding selain dilihat turut menggeledah pejabat,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemui beberapa peralatan yang digunakan suspek iaitu alat pembuka dan mata mesin penebuk terbabit di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati ketika kejadian kilang sudah ditutup dan hanya seorang pengawal keselamatan bertugas.

“Setakat ini, polis masih mengesan dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:31 AM