PEKERJA asing warga Bangladesh ditahan ketika menyorok di dalam semak di belakang kilang semasa operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


LELAKI warga Bangladesh yang bekerja di kilang lintang-pukang menuju ke hutan berhampiran dan menyorok di sebalik semak sebaik melihat penguatkuasa Jabatan Imigresen menjalankan Ops Sapu di Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi, lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun berjaya dikesan anggota Imigresen sebelum ditahan.

Lelaki terbabit antara 19 pekerja asing yang ditahan dalam operasi selama lapan jam itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 10.20 pagi hingga 5.30 petang, pihaknya turut menahan empat lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga Myanmar, lima lelaki serta dua wanita warga China.

“Semua warga asing terbabit ditahan di kilang dan asrama pekerja yang mana ketika serbuan di asrama pekerja, ada yang sedang berehat dan makan berikutan hari cuti.

“Seramai 37 pekerja asing diperiksa, namun hanya 19 ditahan selepas mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, kesemua pekerja asing berusia antara 16 hingga 60 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Perkara 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Katanya, mereka semua ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 10:16 AM