LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hamzah Osman


“MAYAT isteri kepada anak saudara saya dalam keadaan bersujud di sisi mayat anak lelaki bongsunya dalam bilik air rumah itu.”

Begitu kata Mohd Ridzwan Man, 40, bapa saudara Mohd Nahar Suhami, 39, yang rentung di ruang tamu sementara isterinya Nor Suhaila Ahmad, 41, serta anak bongsu mereka, Mohd Naufal Mohd Nahar, 6, ditemui mati di dalam bilik air dalam kebakaran rumah di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, di Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, tiga sekeluarga terbabit gagal menyelamatkan diri dan mayat mereka ditemui selepas bomba memadamkan kebakaran.

Mohd Ridzwan yang juga pengusaha syarikat pelancongan berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, pada 8 pagi.

“Tiba di tempat kejadian, saya meminta izin pihak polis untuk masuk ke dalam rumah untuk mengenal pasti mayat yang ditemui.

“Mayat wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki yang ditemui dalam bilik air itu memang sah ibu dan anak, iaitu isteri kepada Mohd Nahar dan anak mereka.

“Manakala mayat yang ditemui di ruang tamu hanya ada cebisan saja akibat rentung,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, hari ini.

Menurutnya, pada badan Nor Suhaila ada kesan terbakar dan dalam keadaan bersujud.

“Mayat kanak-kanak lelaki itu nampak lebih sempurna dan saya percaya dua beranak itu cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke bilik air ketika kebakaran.

“Sebenarnya, rumah ini digunakan keluarga ini sebagai persinggahan sahaja kerana mereka memiliki rumah lain di Kampung Kenyum,” katanya.

Katanya, pasangan itu mempunyai lima anak berusia antara enam hingga 20 tahun iaitu empat perempuan serta satu anak lelaki.

Mohd Ridzwan berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anak saudaranya adalah dua hari lalu iaitu ketika mereka berkelah sambil menonton persembahan udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

“Dua hari lalu, kami adakan perjumpaan keluarga di tepi laut berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan itulah kali terakhir saya jumpa arwah.

“Tiada perubahan sikap yang ketara, malah saya sempat bergurau dengan anak lelaki tunggal arwah yang mayatnya ditemui bersama ibunya di bilik air,” katanya.

Berita berkaitan

Lelaki rentung, rumah terbakar

[UPDATE] Mangsa kebakaran disahkan tiga beranak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 2:28 PM