Tong LPG yang dirampas dari sebuah kedai runcit semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP Kelantan.
Siti Rohana Idris


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita 566 tong gas petroleum cecair (LPG) yang melebihi kuantiti dilesenkan di sebuah kedai runcit di Kampung Bechah Keranji, Kota Bharu semalam.

Dalam Ops Gasak II 11.30 pagi itu, KPDNHEP turut merampas sebuah lori dengan muatan LPG itu.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, tindakan itu diambil kerana pemilik premis disyaki menyimpan LPG melebihi kuantiti yang dilesenkan.

“Pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai lesen menjual runcit, namun siasatan lanjut mendapati stok simpanan pemilik premis melebihi had kuantiti dibenarkan.

“Penjualan LPG adalah mengikut kuantiti lesen yang diluluskan dan dalam kes ini 1,000 kilogram saja dibenarkan tetapi pemilik memiliki lebih daripada itu.

“Keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan RM57,403.60,” katanya hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana ada dalam kawalan barang kawalan LPG melebihi kuantiti dilesenkan.

“Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:00 PM