MAYAT Khairuddin (gambar kecil) ditemui di dalam tali air Batu 8, Jalan Simpang Empat, Kota Sarang Semut, Alor Setar selepas mangsa tergelincir ketika memukat ikan. FOTO Zuliaty Zulkiffli dan ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli


“ARWAH kelihatan sebak dan sayu ketika membaca khutbah berkaitan umat Islam ditembak di dua masjid di New Zealand di hadapan 200 jemaah Masjid Kubang Palas, Kuala Nerang, sebelum menunaikan solat Jumaat, baru-baru ini selain isu rakyat Palestin yang ditindas kejam dan semuanya mempunyai kaitan dengan mati.

“Tak sangka pula itu kali terakhir saya bertemu dengannya sebelum mendapat berita dia meninggal dunia akibat lemas hari ini,” kata Abdul Jalil Abdul Majid, 63.

Abdul Jalil yang juga penduduk Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang, Alor Setar, berkata, arwah Ustaz Khairuddin Ahmad, 33, paling disegani di kampung itu dan rajin keluar mencari ikan di sungai untuk berniaga.

Dalam kejadian pagi tadi, mangsa dikatakan lemas selepas pukat ditebarnya dipercayai tersangkut pada but getah yang dipakainya menyebabkan dia tergelincir dalam tali air Batu 8, Jalan Simpang Empat, Kota Sarang Semut, dengan kedalaman air lebih dua meter.

Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui pada 4 petang oleh penduduk kampung yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Menurut Abdul Jalil, dia hanya mengetahui kejadian itu daripada isterinya, Jamilah Said, 49, melalui kumpulan WhatsApp pada 4.30 petang dan terkejut apabila dimaklumkan Ustaz Khairuddin sudah tiada.

“Arwah kerap berulang-alik ke rumahnya di Kampung Pisang, Kuala Kangkung dari rumah keluarganya di Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang.

“Tetapi dia memang suka memukat ikan dan semalam dia beritahu dapat banyak ikan dalam kumpulan WhatsApp isteri saya dan mungkin memukat ikan di tempat sama,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, hari ini.

Abdul Jalil berkata, arwah mempunyai dua anak kecil manakala isterinya bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Kota Sarang Semut.

Katanya, dia memang minat mencari ikan dan siput selain menjual nira untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

“Kami rapat dengan Khairuddin dan reda dengan pemergiannya.

“Jenazah Khairuddin dijangka dibawa pulang ke kampungnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Palas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:49 PM