LAPORAN portal Harian Metro mengenai pemandu e-hailing yang kecewa tidak dapat memohon lesen PSV kerana tidak mengetahui syarat pendaftaran.
Mohd Rizal Abdullah


KEKELIRUAN tidak patut timbul kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah memberi penerangan kepada institut memandu mengenai permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), kata Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi.

Beliau berkata, pemohon boleh berhubung dengan institut memandu sekiranya masih kurang jelas dengan permohonan lesen PSV itu bagi mengelakkan kekeliruan, selain boleh menghubungi JPJ negeri masing-masing.

Katanya, masalah yang timbul membabitkan pendaftaran pemandu e-hailing yang berlaku hari ini hanya disebabkan salah faham berikutan hari pertama pendaftaran.

“Justeru, sekiranya ada pihak yang kurang jelas boleh menghubungi JPJ negeri masing-masing bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya juga sudah memberikan penerangan kepada enam institut memandu di Kuala Lumpur Februari lalu berkaitan permohonan lesen berkenaan.

Harian Metro hari ini melaporkan, seramai 150 pemandu e-hailing di Lembah Klang kecewa apabila tidak dapat menyertai kursus sistem pendaftaran permohonan lesen PSV yang bermula hari ini.

Mereka yang hadir sejak 8.30 pagi ke institut memandu di Jalan Utara di Petaling Jaya, itu tidak dapat menyertai kursus berkenaan kerana rata-rata mereka keliru dan tidak mengetahui syarat pendaftaran lesen terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:59 PM