Ahmad Rabiul Zulkifli


MUSIM panas mutakhir ini yang menyebabkan kawasan paya cetek memberi rezeki tambahan pada penduduk Kampung Titian Hangus, Kuala Terengganu apabila aktiviti menangkap ikan di kampung berkenaan membolehkan mereka memperoleh hasil berganda berbanding biasa.

Aktiviti menangkap ikan dijalankan setiap tahun itu berjaya memperoleh lebih 70 kilogram ikan air tawar termasuk haruan, keli, puyu, sepat serta belut.

Penduduk, Afendi Omar, 43, berkata hasil tangkapan diperoleh pada tahun ini paling banyak berbanding tahun sebelum ini.

“Faktor cuaca panas luar biasa menyebabkan air di dalam paya cetek, sekali gus memudahkan peserta menangkap ikan yang terperangkap di dalam lopak.

“Ikan haruan seberat 2.6 kilogram ialah ikan terbesar berjaya ditangkap selain belut dan ikan keli.

“Memang seronok menjalankan aktiviti ini kerana ia bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk, malah menghidupkan tradisi nenek moyang,” katanya ketika ditemui.

Shaiful Yusri M Sidi, 31, berkata, aktiviti itu mungkin dilihat agak kotor bagi segelintir individu kerana perlu bermandikan air paya dan tanah berlumpur.

“Namun, ia tidak menjadi masalah bagi penduduk kampung ini kerana ia sudah menjadi kebiasaan sejak kecil lagi.

“Berbaloi bermandikan tanah berlumpur apabila memperoleh hasil tangkapan banyak seperti ini.

“Biarpun tidak semua yang menyertai aktiviti ini menggemari ikan air tawar, namun keseronokan bergotong-royong menangkap ikan itu menjadi keutamaan,” katanya.

Wan Mohd Hafizul Hisham Wan Aziz, 30, berkata, aktiviti itu agak unik kerana mereka tidak menggunakan peralatan untuk menangkap ikan di dalam paya hampir kering itu.

Katanya, peserta hanya menggunakan tangan untuk menangkap ikan di dalam tanah berlumpur itu.

“Bagi peserta berpengalaman, ia memang senang tetapi agak rumit dan mencabar untuk peserta pertama kali menyertainya.

“Jumlah tangkapan tidak terlalu diutamakan, namun tradisi turun temurun itu perlu dikekalkan supaya generasi sekarang berpeluang menjalankan aktiviti berkenaan.

“Tidak semua kampung masih mengekalkan tradisi menangkap ikan di paya pada musim kemarau ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk Kampung Titian Hangus masih beruntung kerana masih mempunyai kawasan paya, sekali gus membolehkan mereka menjalankan aktiviti berkenaan.

“Sehingga kini, aktiviti ini hanya membabitkan penduduk setempat dan hasil yang diperoleh itu akan dibahagikan sama rata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 1:00 AM
PENDUDUK Kampung Titian Hangus, Kuala Terengganu menunjukkan ikan haruan berjaya ditangkap di paya pada musim kemarau. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.