NAJIB tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes 1MDB, semalam.
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkannya menangguhkan perbicaraan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan peguam Harvinderjit Singh ketika sebutan semula kes anak guamnya yang membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah memfailkan permohonan itu semalam di Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun tarikh pendengaran belum diperoleh.

Terdahulu, Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes Najib membabitkan 1MDB.

Ia berikutan permohonan pendakwaan yang memohon supaya tarikh perbicaraan kes itu yang ditetapkan bermula 15 April hingga 3 Mei ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes membabitkan dana SRC.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pihaknya diarahkan Peguam Negara untuk memohon penangguhan kes itu pagi semalam.

“Pada 29 Mac lalu, Peguam Negara menulis surat kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim memohon supaya mahkamah memberi keutamaan terhadap perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

“Kami menerima surat kembali daripada Hakim Besar Malaya yang mengesahkan ada menerima surat daripada Peguam Negara, namun menyerahkan keputusan untuk menangguhkan kes itu kepada mahkamah itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Harvinderjit membantah perkara berkenaan kerana tiada alasan istimewa untuk tarikh perbicaraan kes terbabit dilapangkan bagi memberi laluan kepada kes lain.

“Apa beza kes SRC dengan kes yang lain? Semua kes adalah penting dan tidak sepatutnya memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana kes bermula dulu. Mahkamah juga sudah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes 1MDB lebih awal.

“Malah, mahkamah sendiri pernah menolak permohonan kami untuk menangguhkan kes ini sebelum ini dan mengarahkan supaya perbicaraan dijalankan mengikut jadual sudah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Collin mempertikaikan tindakan Peguam Negara yang memohon untuk menangguhkan kes membabitkan dana 1MDB tanpa membuat permohonan rasmi kepada mahkamah.

“Saya tidak boleh menunggu kes membabitkan dana SRC habis terlebih dulu baru boleh memulakan kes dana 1MDB. Saya tidak mahu kes saya bermula tiga bulan lagi, ia perlu bermula Mei ini.

“Saya boleh lapangkan kes saya dengan syarat Mahkamah Tinggi 3 (yang mendengar kes membabitkan SRC) mempunyai kelapangan untuk mendengar kes itu. Saya tetapkan Khamis ini untuk sebutan semula bagi mengetahui status tarikh perbicaraan,” katanya.

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:01 AM