Raja Noraina Raja Rahim


MALANG tidak berbau buat seorang penunggang motosikal apabila terkena tayar treler yang tercabut di Batu 3 Jalan Seremban-Port Dickson, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, mangsa, Mohamad Haanee Kamaludeen, 30, cedera di kepala dan kaki kiri.

“Ketika kejadian jam 2.15 petang itu, treler dipandu lelaki berusia 51 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Gadut, Seremban menuju ke Lukut, Port Dickson sebelum tayar belakang sebelah kiri tercabut dan terpelanting ke kanan jalan.

“Tayar yang tercabut itu kemudian terkena penunggang motosikal Suzuki yang berada di lorong kanan. Akibat kejadian, penunggang terjatuh dan cedera di kepala serta kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, rakaman video berdurasi tiga saat tular di Facebook menunjukkan penunggang motosikal dirempuh tayar treler yang tercabut menyebabkan mangsa terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 1:13 PM
GAMBAR tular seorang penunggang motosikal terkena tayar treler yang tercabut. FOTO tular FB