SITUASI tegang berlaku antara peniaga yang hadir dengan pihak DBKL disebabkan bantahan pertukaran lokasi berniaga dari Jalan TAR ke Jalan Raja ketika proses pengundian lot tapak berniaga bazar Ramadan 2019 di Jalan Raja Dataran Merdeka di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PROSES pengundian tapak bazar Ramadan bertukar kecoh apabila kira-kira 300 peniaga membantah pemindahan tapak bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Raja.

Protes berkenaan dilakukan ketika proses pengundian tapak bazar Ramadan di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur, apabila sekumpulan peniaga menyerbu pentas pengundian.

Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal anggota dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan proses pengundian diberhentikan untuk melakukan rundingan bersama peniaga.

Rundingan selama setengah jam itu turut menemui jalan buntu dan gagal mencapai kata sepakat apabila bantahan mereka tidak diterima DBKL.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sebelum proses pengundian dilakukan, peniaga yang memohon tapak berkenaan diberitahu akan berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Bagaimanapun, seminggu sebelum proses pengundian dilakukan, peniaga diberitahu tapak berkenaan akan bertukar ke Jalan Raja.

“Jika di Jalan Tuanku Abdul Rahman terdapat lebih 400 tapak untuk peniaga, jika dipindahkan hanya 225 tapak disediakan,” katanya ketika ditemui.

Rosli berkata, terdapat seramai 1400 peniaga yang memohon tapak secara dalam talian berbanding hanya 225 tapak disediakan.

“Kita juga bertanya jika di Jalan Raja, di manakah tapak untuk mereka berniaga, namun mereka masih belum mempunyai pelan tapak.

“Mereka memaklumkan terdapat bantahan dari pekedai-pekedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyebabkan tapak berkenaan dipindah,” katanya.

Sementara itu, pegawai DBKL ketika ditemui di lokasi pengundian enggan mengulas lanjut berhubung kejadian.

Tinjauan sepanjang proses pengundian berkenaan mendapati selepas rundingan dilakukan proses pengundian dijalankan tanpa sebarang provokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 1:58 PM