ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan JIM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA wanita warga Indonesia cuba terjun dari tingkat lima sebuah hotel di Jalan Kepong, Kuala Lumpur, bagi meloloskan diri selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Bagaimanapun, tindakan wanita warga asing itu gagal apabila mereka berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

Dalam operasi Ops Gegar yang bermula 9 malam itu, seramai 22 wanita warga asing disyaki pelacur berusia antara 20 hingga 30-an ditahan

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, semakan mendapati 11 daripada mereka adalah warga Indonesia, Vietnam (enam orang), Thailand (tiga orang), Bangladesh ( seorang) dan seorang warga Laos.

“Turut ditahan adalah tiga lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis berkenaan.

“Siasatan mendapati semua wanita terbabit disyaki datang ke Malaysia sebagai pelancong dan kerap keluar masuk negara untuk bekerja di spa hotel berkenaan,” katanya.

Hamidi berkata, wanita berkenaan menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM190 sehingga RM250.

“Ketika operasi dijalankan wanita berkenaan didapati bersembunyi di dalam bilik hotel bagi mengelakkan mereka ditahan. Pihak pengurusan hotel akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 2:10 PM