MUHAMMAD Adam bersama ibu dan bapanya. FOTO Amirudin Sahib
Fairul Asmaini Mohd Pilus


“ADAM perlu dibedah segera bagi merawat penyakit jantung berlubang dan saluran injap paru-paru tersumbat yang dihidapi, namun kos RM60,000 di luar kemampuan kami sekeluarga.

“Jika pembedahan terus ditangguhkan, kami bimbang kesihatan Adam semakin merosot dan ia boleh mengancam nyawanya,” kata Siti Zahirah Deraman, 32, ibu kepada Muhammad Adam, dua tahun.

Suri rumah dari Rantau Panjang, Kelantan itu berkata, anak bongsu dari dua beradik itu dikesan mempunyai penyakit jantung berlubang dan saluran injap paru-paru tersumbat sejak dilahirkan.

Dia berkata, sejak itu dia dan suami, Mat Jusoh Mohamed, 49, terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, doktor yang merawat anaknya memaklumkan pembedahan segera perlu dilakukan bagi memastikan Muhammad Adam dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa seperti kanak-kanak lain.

Ini kerana Muhammad Adam tidak boleh terlalu aktif selain cepat keletihan, kurang selera makan dan berat badannya hanyalah 10 kilogram.

“Kami sekeluarga benar-benar buntu kerana pendapatan suami sebagai buruh kasar hanyalah sekitar RM400 sebulan dan saya pula tidak bekerja.

“Jika hanya bergantung kepada gaji suami, entah sampai bila kami dapat mengumpul wang untuk membiayai pembedahan yang akan dilakukan oleh pakar di Pusat Perubatan Hospital Gleaneagles.

“Kami sudah tidak sanggup melihat penderitaannya dan berharap orang ramai dapat membantu menampung kos pembedahan Adam,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, sumbangan bagi kos pembedahan Muhammad Adam boleh disalurkan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund menerusi akaun Maybank 5141-0532-3170.

Cek juga boleh dihantar ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atas nama pesakit

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 2:42 PM