Hamzah Osman


DUA anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan untuk membantu siasatan kes kebakaran rumah yang mengorbankan tiga beranak di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, di Langkawi.

Tinjauan mendapati, dua anjing jenis English Springer Spaniel diberi nama Geoffrey dan Rusty itu tiba di lokasi kejadian, jam 11 pagi, hari ini.

Difahamkan, penggunaan khidmat anjing pengesan bagi kes terbabit hari ini adalah kali kedua, selepas pertama kali khidmat haiwan sama digunakan pada 2 petang semalam.

Ketua Bomba Zon Langkawi Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd Noor berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian yang mengorbankan tiga nyawa itu.

“Hari ini dan petang semalam, kita menggunakan khidmat dua anjing pengesan dari Unit K9 JBPM, dari Klang, Selangor untuk mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

“Semua bahan bukti yang diperoleh akan dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran Bomba sama ada di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur yang mana bersesuaian,” katanya di Langkawi.

Fadzlullah berkata, siasatan hari ini disertai lima anggota dari Unit K9 dan dibantu enam anggota Unit Siasatan Kebakaran (FIO) dari JBPM Kedah.

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, tiga beranak ditemui mati termasuk seorang rentung dalam kebakaran rumah batu beratap zink yang musnah 70 peratus.

Mangsa rentung dikenali sebagai Mohd Nahar Shuhami, 39, manakala mayat isterinya, Noorsuhaila Hamat, 41 dan anak bongsu yang juga lelaki tunggal mereka, Mohd Naufal Mohd Nahar, 6, ditemui dalam bilik air.

Berita berkaitan

[UPDATE] Anak sahkan identiti ibu, adik bongsu

[UPDATE] Siasat sama ada wujud unsur khianat

Mayat isteri dalam keadaan bersujud

[UPDATE] Mangsa kebakaran disahkan tiga beranak [METROTV]

Lelaki rentung, rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 2:47 PM